Wednesday, September 16, 2015

#11 Di Balik Tirai Mahkamah Syariah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum stalkers


      Pada Ogos 2015 yang lalu, saya telah menjalani Latihan Industri I di Mahkamah Rendah Syariah Kluang, Johor (MRSK) selama sebulan. Kira-kira 17 hari di sana, selama itu jugalah aku berulang alik sejauh 66km setiap hari dari rumah menuju ke mahkamah (Simpang Renggam-Kluang) menaiki Lejen yang memang lejen.

      Cerita yang cliche tentang Mahkamah Syariah pastilah kes-kes mal berkenaan pembubaran perkahwinan seperti mohon cerai, cerai ta'liq, pengesahan lafaz cerai (isbat cerai) dan fasakh. Sampaikan cop 'ISBAT CERAI' kat kaunter pun dah dekat nak lunyai. Punya nak gambarkan betapa banyaknya kes cerai saban hari. Kalau nak diikutkan, prosedur cerai cara baik ni taklah rumit sangat. Paling lama pun makan masa selama sebulan. Bergantung pada budi bicara Tuan Hakim dan kerjasama pihak-pihak. Berbeza dengan kes fasakh yang makan masa bertahun-tahun.

      Kes 'MOHON CERAI' ataupun 'cerai cara baik' ini amat mudah kerana ia merupakan persetujuan bersama kedua-dua belah pihak (suami dan isteri). Kes ini tak memerlukan Peguam Syarie. Pihak yang memohon cuma perlu mengemukakan beberapa dokumen seperti berikut:

  1. 3 Salinan Borang Maklumat Pihak-pihak
  2. 3 Saman Dan Penyata Tuntutan
  3. 3 Salinan Kad Pengenalan / Pasport Suami & Isteri
  4. 3 Salinan Sijil Nikah / Sijil Rujuk
  5. 3 Salinan Kelahiran Anak-anak
  6. 3 Salinan Laporan Polis & Doktor
  7. Akaun Pemastautin
  8. Laporan daripada Pejabat Agama Daerah

      Kes fasakh pula tak jauh beza pun macam kes-kes mal yang lain. Kes fasakh berlaku apabila si suami enggan cerai cara baik lalu si isteri menuntut untuk difasakhkan oleh pihak mahkamah. Namun, proses fasakh bukanlah semudah yang disangkakan. Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri yang tidak pernah disabitkan 'nusyuz' oleh Mahkamah Syariah atau mana-mana Pejabat Agama. Kos untuk kes fasakh juga tinggi kerana pihak-pihak perlu melantik Peguam Syarie masing-masing bagi mewakili mereka di dalam dewan perbicaraan nanti. Penangguhan demi penangguhan tarikh perbicaraan itu perkara biasa dan jarak antara tarikh sebutan juga agak jauh antara satu sama lain. Soal balas antara peguam dan anak guam perlu dilakukan dengan teliti. Hal ini bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya bagi Hakim Syarie sebelum beliau mengeluarkan perintah.

      Bermacam-macam fakta kes yang akan keluar dalam sesebuah kes fasakh. Ada kisah si isteri menuduh si suami berbelanja dengan boros hingga si isteri terpaksa mendahulukan duitnya demi melangsaikan hutang-hutang si suami. Ada yang si suami pergi keluar mencari perempuan lain dan membiarkan isteri dan anak-anak digantung tanpa sebarang nafkah. Ada pula kisah si isteri menyatakan si suami gagal memberikannya kepuasan batin setiap malam! Macam-macam hal. Alahai donia donia... So daripada pengalaman sendiri dan rakan-rakan seangkatan, dapatlah aku senaraikan beberapa sebab dan punca utama mengapa si isteri ingin meminta fasakh:

  1. Gaji isteri lebih besar berbanding gaji suami
  2. Suami tiada pekerjaan tetap
  3. Suami ada perempuan lain
  4. Suami lemah nafsu
  5. Suami panas baran
  6. Campur tangan pihak ketiga (ahli keluarga/rakan/media sosial)
  7. Isteri sendiri yang tak reti bersyukur
...dan pelbagai lagi sebab yang mendorong si isteri nekad ingin menuntut fasakh. Korang sendiri boleh perhatikan sendiri realiti masyarakat kita yang sedang tenat sekarang. Dengan 'relationship goals' yang entah hape-hape. 'Love still jannah' toksah cakap. Berbulu telinga dengor!

      Ya betul entry kali ni memang bukannya nak terangkan prosedur lengkap cemane nak cerai or isbat nikah or yang sewaktu dengannya (nak tau pegi tanya sendiri kat mahkamah). Bukan juga untuk cadangkan solusi-solusi permasalahan keluarga. Tapi entry kali ni lebih kepada luahan hati seorang anak muda yang sudah jemu melihat institusi keluarga Islam yang kian bobrok. Di mana silapnya kita? Adakah cinta selepas nikah itu hanyalah khayalan orang-orang agamawan?

      Itu belum lagi aku buka kisah-kisah jenayah syariah. Khalwat? Yang muda yang tua semua serupa!





Acacia Park, Nilai
Rabu, 2 Zulhijjah 1436
4:43 pm

No comments:

Post a Comment